pendakwah dan SENI penggarapan
4:02 PMsalam kepada semua,
"manusia punyai citarasa berbeza..aku suka bermuzik..sukankan bola..sukakan ketenangan bersama bunyi2 nature...jadi mana mungkin pertembungan citarasa menjadi pilihan lintasan hatiku.."
Keupayaan seorang pendakwah untuk memanfaatkan kelompok manusia sekitarnya merupakan satu tuntutan bagi melengkapkan keperibadian pendakwah. Ia juga merupakan antara keperluan Jalan Dakwah itu sendiri; supaya dakwah terus berjalan dan dapat menggembleng potensi manusia. Dakwah yang kita fahami merupakan satu perjuangan yang panjang. Maka organisasi dakwah yang menjauhkan manusia daripadanya (organisasi) dan gagal menggarap manusia sangat jauh dari mencapai kejayaan yang dicitakan. Bagaimana kejayaan dapat dicapai sekiranya organisasi tadi jauh dan tidak diterima masyarakat?
Seni penggarapan yang dimaksudkan adalah keupayaan pendakwah untuk mendekati manusia, dan menggabungkan mereka ke dalam bahtera dakwah. Pendakwah yang berjaya ialah mereka yang mampu menyampaikan dakwah dan fikrahnya (pemikiran) kepada masyarakat. Mereka juga mampu memberi kesan kepada masyarakat yang latar belakangnya berbeza-beza.
Tidak ada jalan lain untuk berjaya dalam agenda ini; sekalipun pendakwah pelbagai kehebatan dan kemampuan, melainkan dengan menawan hati manusia dan memiliki cinta mereka. Bagaimana untuk menawan hati mereka? Sekaligus menjadi langkah pertama ke arah menggabungkan mereka dengan bahtera dakwah.
Setiap pendakwah mengimpikan penerimaan manusia terhadap dakwah mereka. Tetapi tidak semua perkara yang kita impikan menjadi kenyataan. Dan kita tidak akan mencapainya, melainkan kita memiliki kemahuan yang benar dan bersungguh-sungguh dalam menawan hati manusia. Kemudian kita berusaha mengambil asbab dalam mencapai tujuan yang kita impikan.
BAGAIMANA MENAWAN HATI MANUSIA?
1. Kenalilah saudaramu dengan sebaiknya
“Berkenalanlah dengan saudara-saudara yang kamu temui. Sekalipun dia tidak meminta kamu berbuat demikian”. Begitulah pesan berharga dari seorang pendakwah terkenal. Pesanan ini menuntut kita mendekati manusia dan hidup di tengah mereka. Masyarakat akan merasai kehangatan persaudaraan dan keintiman yang lahir dari peribadi pendakwah. Keintiman ini tidak akan wujud sekiranya tidak didahului dengan perkenalan yang mantap. Bagaimana manusia dapat merasai persaudaraan yang rapat dengan kita, sedangkan kita tidak mengetahui perkara mereka sukai? Juga tidak mendalami perkara-perkara yang boleh membuatkan mereka resah gelisah?
2. Tidak memaksa diri ke atas orang lain
Antara perkara yang menjauhkan manusia satu sama lain, adalah cubaan memaksa pendapat dan pandangan peribadi ke atas orang lain. Terutamanya pada perkara yang dianggap sulit oleh manusia. Seringkali juga ada yang memaksa manusia untuk memberitahu masalah mereka, bertujuan untuk menasihati mereka dalam perkara tersebut. Pendakwah yang faham akan menjauhi perkara ini, dan hanya campur tangan dalam urusan sulit hanya apabila diminta sedemikian.
3. Menjauhkan diri dari banyak mengkritik
Kritikan terhadap manusia sekeliling berlawanan dengan tujuan kita menawan hati mereka. Manusia yang dikritik akan meletakkan dirinya dalam keadaan ‘bertahan’. Mereka akan sentiasa mengukuhkan pendapat mereka dan menolak hujah pendakwah. Kesalahan pendakwah sering dijadikan ‘pukul balas’ untuk membalas dendam. Kritikan akan melukakan hati manusia dan menggerakkan sifat negatif terhadap pengkritik.
4. Bergaul baik dengan mereka, sepertimana kita suka diperlakukan sedemikian.
Kasih sayang merupakan hasil yang dituai setelah sebelumnya disemai dengan pemberian yang tanpa henti. Terdapat juga pendakwah yang bergaul dengan pergaulan yang tidak baik, disertai keangkuhan dan tanpa penghargaan terhadap sasaran dakwahnya. Kemudian mereka menunggu agar manusia mendekati mereka dan mencintai perjuangan mereka. Ini ibarat mimpi di siang hari. Mereka adalah manusia rugi yang serong kefahamannya terhadap dakwah. Untuk menilai pencapaian kita dan tahap pergaulan kita, perlulah beberapa persoalan kita renungkan: Adakah aku telah membantu orang yang memerlukan? Adakah aku memudahkan urusan orang yang dalam kesusahan? Kemudian bayangkan kesusahan yang pernah kita alami, yang mendesak kita terhadap bantuan orang lain. Serta ingatlah kembali perasaan kita terhadap individu yang telah membantu kita sepanjang ujian tersebut. Pastinya perasaan kasih sayang dan keintiman akan timbul terhadap mereka yang melakukan kebaikan terhadap kita.
5. Menjauhkan diri dari mengumpat
Setiap manusia memiliki keistimewaan dan kelemahan. Sifat-sifat positif dan negatif. Tidak ada manusia kini yang sempurna tanpa keaiban dan kelemahan. Berkata-kata tentang kelemahan orang lain akan mendatangkan kesan negatif terhadap pendakwah. Kepercayaan di antara pendakwah dan masyarakat akan terjejas disebabkan tabiat buruk ini. Ketakutan juga akan timbul di dalam hati masyarakat apabila pendakwah mengumpat dihadapan mereka. Timbul kerisauan jika suatu hari nanti mereka berbeza pendapat dengan pendakwah, maka segala kelemahan mereka pula akan dicanangkan dan didedahkan. Sepertimana mereka melihat pendakwah mengumpat dihadapan mereka tentang kelemahan orang lain.
6. Mencari alasan (keuzuran) untuk mereka
Rasulullah mengajar kita untuk memberi keuzuran kepada saudara kita. Kesan kepada praktis sunnah yang mulia ini akan membuatkan para pendakwah disenangi oleh orang lain. Setiap masalah atau kesukaran yang datang dari manusia lain, kita berikan keuzuran kepada mereka. Amalan sebegini akan memupuk kasih sayang kepada pendakwah. Kasih yang berputik hasil daripada kehalusan pergaulan kita dengan mereka. Kita melihat mereka dari perspektif mereka sendiri. Bukan dari penilaian dan perspektif kita. Seorang pakar hubungan interpersonal pernah berkata bahawa, semua manusia menyukai orang lain memberi keuzuran kepada kesalahan yang mereka pernah lakukan.
7. Jangan sesekali bermasam muka kepada mereka
“Senyumanmu pada wajah saudaramu adalah sedekah” “Jangan kamu memandang kecil apa-apa perkara kebaikan, sekalipun bertemu saudaramu dengan wajah yang menyenangkan” begitulah pesanan Rasulullah s.a.w menekankan perihal kepentingan wajah yang ceria dan menyenangkan. Pendakwah yang tulen sentiasa memiliki wajah yang menyejukkan hati manusia. Sekalipun dirinya dihambat masalah dan kesulitan. Kerana pendakwah memahami bahawa bermasam muka merupakan sebab langsung manusia akan menjauhinya. Ketakutan , kerisauan, dan pelbagai sangka buruk akan timbul apabila melihat wajah pendakwah yang tidak menyenangkan. Bagi pendakwah yang mencintai manusia, dia akan sentiasa ditemui dalam keadaan tersenyum lebar penuh ketenangan.
BAGAIMANA DAKWAH MENGGARAP POTENSI PENDAKWAH?
Seterusnya penggarapan para pendakwah yang berada ‘di dalam dakwah’ merupakan suatu tanggungjawab yang amat besar serta memerlukan usaha yang teliti. Jika tidak, apakah rasionalnya kita membawa sekian ramai manusia mendekati bahtera dakwah, dan mereka menyertai saf perjuangan. Jika para pendakwah tidak digarap dengan baik, maka semangat mereka akan pudar dan keazaman mereka akan luntur.
Perkara ini boleh berlaku jika keupayaan dan kebolehan pendakwah tidak disalurkan dan dimanfaatkan dengan baik. Maka penggarapan dalaman akan menjaga prestasi pendakwah di dalam saf. Organisasi perlu menyediakan suasana yang baik untuk pertumbuhan dan peningkatan pendakwah dari aspek iman dan amal dakwah. Organisasi dakwah yang matang akan sentiasa menjaga dan memerhati perkembangan pendakwah yang berjuang di dalam barisannya. Penggarapan luaran umpama seperti biji benih kapas yang disemai, dibajai dan dijaga dari serangga. Maka akan bertumbuhlah pokok kapas dengan baik. Manakala penggarapan dalaman pula, kapas tadi diproses dan dihantar ke kilang untuk menjadi bahan asas bagi pelbagai produk kapas. Inilah seni tarbiyah yang terpampang dalam ciptaan Allah.
TARBIYAH SENTIASA MENJADI KEUTAMAAN
Kecuaian dalam aspek tarbiyah (pendidikan) bagi pendakwah akan menyebabkan pelbagai masalah di masa hadapan. Mereka yang meningkat tanpa dididik, atau memimpin tanpa keahlian, seringkali menjadi bebanan kepada organisasi dakwah pada akhirnya.
Ustaz Fathi Yakan Rahimahullah pernah berkata “Aku mengenali beberapa orang yang mendaki dinding dakwah tanpa kelayakan, dan menjadi pendakwah sebelum masanya. Seterusnya mereka mengadu ditimpa penyakit dan bahaya yang pelbagai. Paling kurang mereka diuji dengan ‘Ujub (rasa takjub dengan kehebatan diri). Ada juga yang merasa angkuh dan berlaku tidak sopan. Apabila semakin meningkat kedudukan dan pangkatnya dalam organisasi, maka meningkat jugalah penyakit yang menimpanya. Sehinggalah penyakit itu terlalu mendominasi dan tidak dapat diubati, dan akhirnya menyebabkan kejatuhan pendakwah dan kerugian pada dirinya.”
Operasi tarbiyah jika tidak diluangkan masa untuk melakukannya dan ditumpukan segala keupayaan untuk menjayakannya, maka organisasi dakwah tidak akan berjaya menyiapkan anggotanya. Pelbagai penyakit yang menimpa pendakwah akan melarat dan terlepas pandang oleh organisasi. Pasti juga akan berlaku pelbagai ketempangan dalam pembinaan peribadi pendakwah yang memberi kesan kepada suasana amal dalam badan dakwah. Semua ini menggambarkan peri penting penekanan kita dalam aspek tarbiyah.
Ustaz Fathi menambah lagi “Aku juga mengenali anak dakwah yang meningkat kedudukannya dalam dakwah, kemudian terjun beramal di medan yang berliku sebelum disiapkan keperibadiannya, seterusnya dilantik mengepalai urusannya yang bukan keahliannya, maka kita bayangkanlah apa yang akan terjadi kepadanya?”
Mereka yang mengkaji sejarah dan peristiwa dapat menyimpulkan bahawa kebanyakan perselisihan, salah faham, isu keguguran pendakwah, penyakit yang menimpa pendakwah, serta segala musibah yang berlaku dalam sejarah dakwah adalah kerana kurangnya penekanan dalam aspek tarbiyah.
Antara perkara yang penting juga adalah kita memastikan setiap pendakwah mempunyai tugasan dan tidak menganggur. Tugasan tersebut akan menyempurnakan binaan tarbiyah yang dilaluinya. Setiap pendakwah perlu mempunyai amal khusus yang sesuai dengannya, biarpun amal tersebut kecil dan terbatas. Pengangguran dalam dakwah akan menyebabkan adanya titik kelemahan dalam saf pendakwah.
Semoga Allah memberi kita kekuatan untuk terus beramal dan ditetapkan hati untuk kukuh di atas landasan dakwah ini.
mY pLayLisT
Create a MySpace Music Playlist at MixPod.com