Find The Way..

tazkirah buat teman....








AIDILFITRI ; MERAIKAN ISLAMNYA KITA, FITRAHNYA JIWA


Ramadan telah pergi meninggalkan kita. Apakah masih ada peluang untuk bertemu dengan Ramadan yang akan datang? Terkenang kita kepada peristiwa ketika Nabi SAW menaiki tangga-tangga mimbar masjid baginda SAW mengaminkan satu persatu yang disebutkan oleh Jibril Alaihi as-Salam. Di antaranya ialah sebagaimana yang disebutkan oleh Nabi SAW:
“Jibril mendatangiku seraya berkata; “Barangsiapa yang mendapati bulan Ramadan, lantas tidak mendapat ampunan, kemudian mati, maka ia masuk Neraka serta dijauhkan Allah (dari RahmatNya).” Jibril berkata lagi; “Ucapkan ‘Amin’. Maka kuucapkan ‘Amin’”.
Tidakkan amaran ini cukup menggerunkan kita. Sejauh mana kita telah mengisi Ramadan ini dengan sembahan ibadah yang cukup untuk menagih keampunan Allah yang ‘tidak murah’ itu? Berhasilkah kita untuk mendapat nilai Taqwa? Pujilah Allah bagi mereka yang telah berpenat lelah dan dukacitalah sedalam-dalamnya bagi mereka yang lalai dan leka.
Selepas Ramadan berlalu, para Salafus-Saleh sentiasa memohon kepada Allah agar segala amal kebaikan yang dilakukan diterima oleh Allah. Seharusnya selepas Ramadhan taat dan patuhnya seseorang itu kepada Allah berkekalan maka itulah sebesar-besar nikmat kurniaanNya.
Akan tetapi, jika ibadah itu bermusim, setaraf dengan bola sepak atau durian, maka celakalah kesudahannya. Semoga Allah melindungi kita dari keadaan cela seperti ini.
Selepas berlalunya Ramadan, janganlah kita lupa kepada Puasa 6 hari di bulan Syawal. Kedudukannya sebagaimana Solat Rawatib mengiringi Solat Fardu berfungsi menampung kekurangan yang berlaku kepada puasa Ramadan kita.
Madrasah Ramadan yang menghasilkan Taqwa hendaklah digunakan sebaik-baiknya. Kehidupan kita di bumi Mesir ini sememangnya menguji iman dan komitmen kita kepada Islam dan Iman.
Jika Taqwa itu bermaksud menempuh hidup ini dengan penuh hati-hati sebagaimana seorang yang melalui jalan penuh duri bagai yang didefinisikan oleh Ubai bin Kaab Radiyallahu ‘anhu, maka Taqwa itulah yang diperlukan dalam kehidupan kita di sini.
Saban tahun apabila berlalunya Ramadan, kita akan meraikan Aidilfitri. Kita raikan ia dengan Takbir, Tasbih dan Tahmid. Tetapi pernahkah kita dikunjungi tanda tanya, apakah sebenarnya yang kita raikan?
Sesungguhnya, yang kita raikan adalah hakikat diri kita sebagai seorang Muslim. Kita raikan anugerah terbesar pemberian Allah ini. Islam yang telah memuliakan kita, meletakkan harga diri kita yang tinggi dan Islam yang memelihara martabat kemanusiaan kita. Islam itu adalah Islam yang telah disempurnakan oleh Allah, Islam yang menjadi penyempurna nikmat Allah kepada kita dan Islam yang telah diredhaiNya sebagai jalan hidup. Pujilah Allah di atas nikmat ini.
“Segala puji bagi Allah yang telah memberi petunjuk kepada kami ke arah ini, yang tidaklah kami ini beroleh panduan hidayat jika tidak diberi petunjuk oleh Allah”. (Al-A’raaf: 43)
Kerana Islam, kita terpelihara daripada menjadi hamba kepada dunia dan harta benda. Kerana Islam juga, kita terselamat daripada menjadi hamba kuli kepada nafsu. Dengan Islam juga kita bebas merdeka daripada menjadi hamba kepada sesama manusia. Islam jugalah yang menjadikan kita berdiri mulia, walaupun sebagai minoriti Ghuraba’ di tengah ramai.
Bahkan Islam itu juga menjadikan kita gigih dan cekal untuk terus bertahan walau diasak dari segenap sudut yang boleh menindas. Ditindas hak-hak asasi manusia, ditindas pemikiran, ditindas idealisma perjuangan, ditindas ekonomi, ditindas sosial, ditindas siasah dan ditindas pada sekalian sudut kehidupan yang ada. Tetapi pernahkan kita merasakan Islam diri semakin rapuh dan lapuk dimakan anai-anai? Tidak sama sekali. Bahkan tekanan itulah yang menjadikan kita semakin yakin bahawa ia Sunnatullah yang menjanjikan kemenangan mutlak bagi mereka yang berjaya menempuhnya. Kita tidak pernah bersifat apologetik dengan prinsip Islam dan perintah Allah yang dijunjung bahkan kita sentiasa tegas dan berani memuliakan Islam, dan menyembah Allah di tengah-tengah dunia fitnah dan serba kontra.
Pesan seorang akh, “Wahai saudara, janganlah kamu berputus asa. Sesungguhnya berputus asa itu bukanlah akhlak muslimin. Hakikat yang ada pada hari ini adalah mimpi semalam, manakala mimpi hari ini bakal menjadi hakikat esok. Pihak yang lemah tidak akan lemah selamanya kerana yang kuat itu akan beransur-ansur menjadi tua dan uzur. Setiap makhluk ada ajalnya maka setiap kezaliman ada kesudahannya!”
Maka isikanlah keraian Aidilfitri kali ini dengan semangat juang yang tinggi. Semangat mahu melihat kalimah Allah itu ditinggikan mengatasi segala yang lain. Di situlah kunci kejayaan. Pencapaian material semata-mata tidak memberikan sebarang jaminan keselamatan sama ada di dunia mahu pun di akhirat. Ambillah iktibar daripada peristiwa kejatuhan Baghdad di zaman pemerintahan kerajaan Abbasiyyah. Bahkan sebagaimana yang diterangkan oleh al-Imam Ibn Katheer Rahimahullah di dalam kitabnya al-Bidayah wa an-Nihayah betapa pada tahun malang itu umat Islam di Baghdad terlupa untuk menunaikan solat sunat Aidilfitri lantas mengqadha’nya selepas Maghrib! Dengan kecuaian mereka terhadap solat, dakwah amar makruf nahi munkar dan jihad, maka di saat itulah kebinasaan ditimpakan oleh Allah walaupun pada masa itu Baghdad adalah qiblat tamadun dan ilmu pengetahuan.
Sesungguhnya pada kisah mereka itu ada pengajaran bagi mereka yang mahu berfikir.
Salam ukhuwwah dan Selamat Menyambut Hariraya Aidilfitri. Maaf Zahir dan Batin.
Allahu Akbar! Allahu Akbar! AllahuAkbar!
Wa Lillahil Hamd!
0 comments:

mY pLayLisT


whats up Palestin

whats up in Harakah

Followers

you are in..!

Egypt Top Blogs

from zero to..